Sabtu, 24 April 2010

Keratan Akhbar Terkini

Kuala Lumpur: Amalan seks bebas di kalangan remaja pada masa ini boleh dianggap memasuki zon kritikal apabila data dikumpul daripada dua rumah perlindungan wanita di Lembah Klang mencatatkan 2,701 kes kehamilan luar nikah sejak 1996 sehingga September lalu.

Jika diambil kira statistik rumah perlindungan lain di seluruh negara, kes yang tidak dilaporkan dan kejadian buang bayi yang berlaku hampir setiap hari, angka sebenar remaja hamil luar nikah pasti meningkat berlipat kali ganda.

Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahya Mohamed Yusof, berkata sejak beliau membuka rumah perlindungan itu 21 tahun lalu yang secara khusus menguruskan kebajikan wanita hamil luar nikah, secara purata 191 bayi tak sah taraf dilahirkan di Kewaja setiap tahun atau 16 bayi sebulan.

“Lebih membimbangkan, ketika jumlah kes yang saya kendalikan meningkat, usia wanita hamil luar nikah itu makin menurun kerana ada yang baru berusia 15 tahun,” katanya.

Sementara itu, Yahya menekankan kerjasama seluruh anggota masyarakat bermula daripada pemimpin, guru, agensi penguat kuasa dan ibu bapa untuk menghentikan percambahan anak luar nikah di kalangan masyarakat negara ini.

“Trend wanita lahir anak luar nikah kini sangat membimbangkan kerana ia dianggap perkara biasa dan bukan lagi hal besar. Bayangkan, hampir setiap hari secara purata saya terima dua panggilan telefon berkaitan masalah hamil luar nikah.

“Sampai satu tahap Kewaja terpaksa tolak permintaan mereka untuk mendapatkan bantuan dan perlindungan kerana kami tidak lagi mampu. Namun mereka tetap mendesak dan ada yang merayu,” katanya.

Ditanya punca meningkatnya kes kehamilan luar nikah, Yahya, 47, merumuskan masalah keluarga menjadi penyebab utama.

“Ibu, ayah, adik beradik dan keluarga hidup dalam penuh kejahilan. Penghayatan agama entah ke mana dan ada ibu bapa menyalahkan anak kerana ‘tidak pandai jaga’ yang bermaksud boleh melakukan hubungan terlarang tetapi jangan sampai mengandung.

“Kesudahannya, walaupun bertaubat dan menyesal, suasana kehidupan seperti itu menyebabkan mereka kembali terjebak. Apa pun, kes berulang seperti ini tidak banyak, ” katanya.

Beliau mencadangkan satu peraturan yang membuatkan sesiapa saja takut untuk terbabit dengan seks bebas sehingga mengandung anak luar nikah diwujudkan.

“Sebagai contoh, mana-mana pasangan yang dikesan melakukan hubungan seks selain suami isteri, tidak kira sama ada yang beragama Islam atau dengan pasangan berbeza agama, mereka perlu dihukum.

“Operasi seperti mencegah lumba haram atau dadah juga perlu diselitkan dengan siasatan sama ada yang terbabit dengan gejala negatif itu melakukan seks bebas. Tangkap dan hukum mereka, baru timbul perasaan takut,” katanya yang kini menguruskan 61 wanita hamil luar nikah di pusat perlindungan kelolaannya.
Temubual: Wartawan Warta Perdana mendengar kisah yang diceritakan salah seorang penghuni
Dapat perhatian: Muka depan akhbar Warta Perdana

Rabu, 21 April 2010

10 Tip / Panduan Berharga dari Kewaja

10 Tips untuk kekalkan hubungan dengan pasangan

Bermula dari proses berkenalan dan percintaan sehinggalah ke alam rumah tangga

1. Kenali dan fahami kelemahan diri sendiri di samping mengenali serta mengakui kehebatan pasangan anda secara jujur.

2. Kekalkan kehebatan diri yang di kagumi oleh pasangan anda serta kekalkan pujian dan kebanggaan anda terhadap setiap kehebatan yang di tunjukkan oleh pasangan anda.

3. Akui kesilapan dan kelemahan diri serta mengamalkan konsep memohon maaf dengan penuh rela dan jujur di samping jangan mempersendakan kelemahan pasangan anda.

4. Bersikap terbuka dan bersedia menerima teguran dan kritikan dari pasangan anda di samping menegur dengan penuh rasa bertanggung jawab dan ikhlas terhadap kesilapan pasangan anda.

5. Kenalkan dan mesrakan pasangan dengan semua ahli keluarga anda serta jalinkan hubungan baik dan beramah mesra dengan keluarga pasangan anda.

6. Bentuk, jalinkan dan kekalkan persefahaman bersama di samping bersedia menghadapi apa jua kumungkinan dan perubahan dengan ikhlas dan rela.

7. Buang sikap berpura-pura, berahsia dan cemburu di samping bersedia berlaku jujur dengan sepenuh hati.

8. Buktikan rasa cinta anda dengan sikap, perbuatan atau keterampilan diri bukannya dengan kata-kata dan jangan sekali memaksa pasangan and membuktikan rasa cintanya walaupun anda meraguinya.

9. Pamerkan rasa bertanggung jawab anda terhadap orang yang anda cinta dan jangan sesekali menyulitkan dan menyusahkannya.

10. Saling mempercayai antara satu sama lain, berasaskan sembilan (9) perkara di atas jangan mudah percaya campur tangan orang ketiga sekiranya salah seorang tiada bersama.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

10 Panduan untuk kenali pasangan yang ideal (Khas untuk Gadis Remaja & Wanita)

1. Jangan terlalu menonjolkan diri atau membuatkan sidia perasan yang anda meminatinya atau ingin mengenalinya.

2. Jangan mudah percaya kepada lelaki yang sentiasa menyoalkan serta menyiasat latar belakang anda.

3. Jauhkan diri daripada lelaki yang sering menceritakan keburukan dan kelemahan pasangannya yang terdahulu.

4. Jauhkan diri daripada lelaki yag ramai teman wanita atau kerap bertukar pasangan.

5. Berhati-hati dengan lelaki yang kurang berminat dengan aktiviti keagamaan, kekeluargaan dan kebudayaan sendiri.

6. Berhati-hati dengan lelaki yang aktif didalam aktiviti sosial yang tidak bermoral atau di tegah oleh agama dan undang-undang.

7. Berhati-hati atau jangan hampiri lelaki yang sentiasa berbual atas topik yang berunsur seks atau berbau lucah.

8. Berhati-hati atau jangan turutkan lelaki yang cenderung membawa anda ditempat sunyi atau jauh dari pandangan ramai.

9. Pilihlah lelaki yang menonjol sifat-sifat kepimpinan, keimanan dan berbudi perkerti mulia di samping bertimbang rasa.

10. Pilihlah lelaki yang menghormati dan menghargai anda sebagai wanita di samping keluarga anda.

Ahad, 14 Februari 2010

Selamat Tahun baru Cina 2010


"Kepada pengunjung blog, kru mengambil kesempatan mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada semua pembaca dan rakan berketurunan Cina
Diharap Tahun Harimau ini akan membawa keamanan dan kebahagiaan kepada semua warga di negara tercinta ini…”

Khamis, 31 Disember 2009

Sejahtera Sepanjang Tahun Baru 2010


Salam sejahtera kepada semua rakan blog dan sahabat taulan…
Selamat menyambut 2010 disusuli gerhana bulan yang diharap dapat dirai kedatangan tahun harimau dengan berani dan melindungi anak genarasi masa depan.
Harapan saya agar dengan alaf 21 akan ceria dengan petunjukNya dan rasulNya serta orang beriman.

Jumaat, 18 Disember 2009

Mesej PM


Ruh hijrah bertepatan idea 1Malaysia: PM

Datuk Seri Najib Razak berkata semangat hijrah yang diamalkan dalam Islam sangat bertepatan dengan konsep Gagasan 1Malaysia yang merupakan kesinambungan prakarsa ke arah memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Perdana Menteri berkata gagasan yang berteraskan kepada nilai murni yang berpaksikan prinsip keadilan sosial dan prinsip penerimaan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan negara demi kemakmuran bersama.

Dalam perutusan Maal Hijrah 1431, beliau berkata cabaran paling besar yang dihadapi sepanjang 52 tahun penubuhan Malaysia ialah membentuk perpaduan rakyat, tetapi ironinya ialah, perpaduan boleh dipupuk melebihi sempadan politik demi kepentingan negara.

"Kejayaan ini tidak datang bergolek sebaliknya memerlukan semangat hijrah yang tinggi, kesetiaan dan ketabahan.

"Kita telah melaksanakan agenda penghijrahan dalam bidang ekonomi dengan melakukan penghijrahan ekonomi berasaskan pertanian kepada perindustrian.

"Sekarang, kita melaksanakan pula hijrah ke bentuk model ekonomi baru berasaskan inovasi, kreativiti dan nilai tambah tinggi.

"Ini semua bagi menjayakan transformasi ekonomi ke arah memacu Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi secara holistik dan mapan, mengutamakan bidang inovasi dan kekal relevan dalam persaingan ekonomi global," katanya.

Najib berkata masyarakat negara ini harus berhijrah untuk sentiasa berprestasi lebih baik tanpa mengira peranan sama ada mereka pemimpin, kerajaan ataupun rakyat.

"Kita perlu mengurus kejayaan dan membina kekuatan ummah dengan membajai dan menyuburkan kerukunan yang telah dipupuk selama ini.

"Ingatlah lipatan sejarah yang sarat dengan catatan kejayaan demi kejayaan yang telah dicapai, sehingga Malaysia kini muncul antara negara membangun paling maju, dinamik dan progresif," katanya.

Perdana Menteri berkata, formula yang mendasari kejayaan ini adalah faktor perpaduan antara rakyat berbilang kaum dan kepercayaan yang berteraskan kepada konsep 'wasatiyah' (kesederhanaan) dengan menerima kemajmukan yang wujud sebagai sumber kekuatan.

"Natijahnya, walau apa pun definisi hijrah menurut perspektif kita, yang penting kita tidak boleh berkovensi dengan kejayaan lampau tanpa berusaha mencipta kejayaan dan merintis inovasi baru," katanya.

Menurut Najib, semua kejayaan itu boleh digapai melalui penghijrahan nilai tambah kepada lebih berinovasi tinggi dan daripada perpaduan sesama kepada perpaduan Satu Ummah.

Perdana Menteri bekata bertepatan dengan tema Maal Hijrah pada tahun ini iaitu 'Memantap Ukhuwah, Memperkasa Ummah', sebuah negara yang maju dan progresif memerlukan ummah yang mempunyai potensi dan sahsiah diri yang utuh dan mapan.

"Khaira ummah dicerna melalui satu ukhuwah yang didasari oleh nilai ketamadunan dan peradaban yang tinggi.

"Keperluan mengamalkan konsep wasatiyah perlu dilaksanakan dalam usaha membangun pembangunan spiritual dan fizikal secara seimbang bagi mempertingkatkan nilai kualiti kekitaan, kepunyaan dan kebersamaan dalam memastikan objektif perpaduan Satu Ummah dapat dicapai dengan lebih berkesan," katanya.

Najib berkata konsep persaudaraan dan perpaduan yang diutuhi oleh Rasulullah pada permulaan hijrah adalah secara holistik tanpa mengira warna kulit, keturunan atau kedudukan.

"Masyarakat di Madinah waktu itu terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, hidup penuh aman dan harmoni, berasaskan Perlembagaan Madinah yang mengutamakan perpaduan dan mempertahankan Islam sebagai agama, keadilan sosial kepada semua dan melindungi kaum minoriti serta memberi kebebasan mengamalkan agama kepada kaum bukan beragama Islam di bawah pemerintahan Negara Madinah," katanya. - BERNAMA

Khamis, 26 November 2009

Ucapan!


SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA...



PADA semua muslimin dan muslimat,semoga semua diberikan-NYA keberkatan, kerahmatan, keampunan dan kebahagiaan pada hari yang mulia ini.

Renung dan hayati semangat disebalik hari perayaan ini agar ia memberi sinar dan dorongan untuk terus berkorban apa saja demi agama,bangsa dan negara.

Selamat Hari Raya Aidil Adha dari kami pengasas, pengurusan dan staf kewaja1malaysia.blogspot.com