Sabtu, 24 April 2010

Keratan Akhbar Terkini

Kuala Lumpur: Amalan seks bebas di kalangan remaja pada masa ini boleh dianggap memasuki zon kritikal apabila data dikumpul daripada dua rumah perlindungan wanita di Lembah Klang mencatatkan 2,701 kes kehamilan luar nikah sejak 1996 sehingga September lalu.

Jika diambil kira statistik rumah perlindungan lain di seluruh negara, kes yang tidak dilaporkan dan kejadian buang bayi yang berlaku hampir setiap hari, angka sebenar remaja hamil luar nikah pasti meningkat berlipat kali ganda.

Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahya Mohamed Yusof, berkata sejak beliau membuka rumah perlindungan itu 21 tahun lalu yang secara khusus menguruskan kebajikan wanita hamil luar nikah, secara purata 191 bayi tak sah taraf dilahirkan di Kewaja setiap tahun atau 16 bayi sebulan.

“Lebih membimbangkan, ketika jumlah kes yang saya kendalikan meningkat, usia wanita hamil luar nikah itu makin menurun kerana ada yang baru berusia 15 tahun,” katanya.

Sementara itu, Yahya menekankan kerjasama seluruh anggota masyarakat bermula daripada pemimpin, guru, agensi penguat kuasa dan ibu bapa untuk menghentikan percambahan anak luar nikah di kalangan masyarakat negara ini.

“Trend wanita lahir anak luar nikah kini sangat membimbangkan kerana ia dianggap perkara biasa dan bukan lagi hal besar. Bayangkan, hampir setiap hari secara purata saya terima dua panggilan telefon berkaitan masalah hamil luar nikah.

“Sampai satu tahap Kewaja terpaksa tolak permintaan mereka untuk mendapatkan bantuan dan perlindungan kerana kami tidak lagi mampu. Namun mereka tetap mendesak dan ada yang merayu,” katanya.

Ditanya punca meningkatnya kes kehamilan luar nikah, Yahya, 47, merumuskan masalah keluarga menjadi penyebab utama.

“Ibu, ayah, adik beradik dan keluarga hidup dalam penuh kejahilan. Penghayatan agama entah ke mana dan ada ibu bapa menyalahkan anak kerana ‘tidak pandai jaga’ yang bermaksud boleh melakukan hubungan terlarang tetapi jangan sampai mengandung.

“Kesudahannya, walaupun bertaubat dan menyesal, suasana kehidupan seperti itu menyebabkan mereka kembali terjebak. Apa pun, kes berulang seperti ini tidak banyak, ” katanya.

Beliau mencadangkan satu peraturan yang membuatkan sesiapa saja takut untuk terbabit dengan seks bebas sehingga mengandung anak luar nikah diwujudkan.

“Sebagai contoh, mana-mana pasangan yang dikesan melakukan hubungan seks selain suami isteri, tidak kira sama ada yang beragama Islam atau dengan pasangan berbeza agama, mereka perlu dihukum.

“Operasi seperti mencegah lumba haram atau dadah juga perlu diselitkan dengan siasatan sama ada yang terbabit dengan gejala negatif itu melakukan seks bebas. Tangkap dan hukum mereka, baru timbul perasaan takut,” katanya yang kini menguruskan 61 wanita hamil luar nikah di pusat perlindungan kelolaannya.
Temubual: Wartawan Warta Perdana mendengar kisah yang diceritakan salah seorang penghuni
Dapat perhatian: Muka depan akhbar Warta Perdana

2 ulasan:

  1. Assalamualaikum wbt..
    saya nak tanya, kita boleh adopt anak angkat dari KEWAJA kan? orang bujang tak berkelayakan ke?

    BalasPadam
  2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam